Kerjaya Helmi Eliza

Dikenali sebagai "Mie Yeh" oleh penyokong pasukan Kenari. Helmi membuat penampilan sulung sebagai penjaga gol utama Kedah FA pada musim 2006/07 selepas Megat Amir Faisal berhijrah ke Selangor FA. Pada 30 Jun 2007, Helmi membantu pasukan hijau kuning merangkul gelaran Piala FA Malaysia selepas menewaskan Perlis FA 4-2 menerusi sepakan penalti. Pada perlawanan itu, Helmi menerima anugerah selaku pemain terbaik perlawanan atas aksi yang meyakinkan sepanjang perlawanan dimana dia berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti yang diambil pemain Perlis FA. Helmi kemudiannya membantu sang kenari memenangi Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia pada musim yang sama.

Aksi yang memberansangkan sepanjang musim 2006/07 meletakkan beliau sebagai penjaga gol nombor satu Malaysia dan dipanggil untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Helmi membuat penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan ketika bertemu Pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia pada 6 Jun 2008. Dia juga terpilih untuk mewakili pasukan Malaysia XI uutuk menentang Chelsea F.C.. Pada perlawanan tersebut, Helmi berjaya menafikan beberapa cubaan Chelsea F.C. dan salah satunya adalah sepakan volley deras luar kotak penalti dari Deco. Pada perlawanan itu, Malaysia XI tewas 0-2.

Sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2008, Helmi telah diberikan anugerah Pemain Paling Bernilai dan dia juga terpilih sebagai Penjaga Gol Popular dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2007-2008.[1]

Pada Pestabola Merdeka 2008, Helmi tidak melepaskan sebarang gol selama 390 minit dalam empat perlawanan. Meskipun tidak melepaskan sebarang gol sepanjang kejohanan berlangsung, Helmi gagal menyelamatkan semua sepakan penalti pada perlawanan akhir menentang Vietnam.